Saturday, March 19, 2011

Kembara Perhambaan

Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih. Selawat dan salam buat baginda kekasih Allah contoh terbaik ikutan zaman Nabi Muhammad s.a.w, kaum kerabat serta sahabat2 baginda yang dirindui. Salam berkirim doa buat kedua ayahanda dan bonda tercinta yang telah kembali ke sisi Pencipta. Moga aman bahagia di sana berteman kasih dan redha Allah...amin Ya Allah...salam penuh tulus kasih sayang buat sahabat2, muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah...alhamdulillah saat ini masih dipinjamkan nikmat iman dan islam kurniaan Allah....subhanallah...indahnya islam manisnya iman...


Lama laman ini terbiar sepi.Dengan semangat yang masih bersisa akan diusahakan untuk terus menghidupkannya di jalan dakwah.Biar mungkin tidak dibaca ramai pengikutnya,naluri sekeping hati mahu diari ini terus bernafas.Meski telah dipilih seseorang oleh Allah untuk membaca isinya lalu ia beroleh manfaat darinya itu pun sudah memadai.Sekurang-kurangnya detik kiraan amal itu berjalan daripada membiarkannya di tahap sifar tanpa sebarang hasil bernilai tambah.Alhamdulillah...masih diizinkan untuk menulis...(。◕‿◕。)


Sebenarnya minggu lepas punya sesuatu yang ana coretkan.Namun keadaan fizikal yang kurang baik membuatkannya terhenti di pertengahan jalan.Bukan mudah untuk ana menyiapkan satu artikel di sini.Harus berperang dengan kondisi badan yang tidak berupaya berkeadaan duduk dalam tempoh yang lama.Jadi kali ini ana berdoa moga penulisan ini sampai ke nokhtah terakhirnya.Amin Ya Rabb...:)


Artikel yang lalu ana bawakan emosi "mencari damai yang hilang" lantaran fikiran yang terlalu kusut dengan pelbagai mehnah dan tribulasi di pentas sebuah kehidupan.Emosi itu tercurah di laman sepi ini.2 miggu sudah artikel itu dan kini perlahan-lahan damai itu kembali menghiasi taman jiwa.Terasa hati ini bisa tersenyum kembali.Senyum dari hati (。◕‿◕。) Alhamdulillah.Tidak putus-putus Allah memujuk dengan bahasaNYA.Dipinjamkan ilmu-ilmu,adik-adik serta sahabat-sahabat buat mengembalikan kekuatan dan senyuman di jiwa.


"Indahnya apabila segala-galanya berkait denganMu"

Setiap apa yang berlaku itu apabila dikaitkan dengan Yang Memberi pasti akan kita temui kesudahannya satu persatu.Kerna tidak DIA berikan sesuatu yang kurang baik itu pada kita melainkan kebaikan jua yang ingin dipersembahkan kepada kita.Itulah hakikat sebenarnya DIA Yang Memberi.Baik atau buruk sesuatu perkara itu harus kita terima sebagai satu medan tarbiyah bahawa DIA sebenarnya mahu mendidik jiwa kita akan erti suatu keyakinan padaNYA.Bagaimana dari satu titik keyakinan itu akan membuahkan rasa kesyukuran,keredhaan dan keikhlasan menerima dalam memberi.

Apabila sesuatu yang berlaku itu kita mencari punca datangnya ia dalam rasa kehambaan akan kita temui bahawa segala-galanya datang dari Allah.Dari suatu pencarian akan membentuk suatu keyakinan bahawa "segala-galanya datang dari Allah".

"Tidaklah gugur hattaa walau sehelai daun pun ke bumi tanpa pengetahuanNYA"

Lalu perasaan syukur itu harus kita susuli kerana masih dianugerahkan rasa hidup berTuhan.Masih yakin bahawa Allah itulah Pemilik segala-galanya bagi alam ini.Hidup sebagai hamba harus kita bawa 3 persoalan penting walau ke mana sahaja kita pergi.

1. Dari mana "aku" datang?

2. Kenapa "aku" didatangkan?

3. Ke mana "aku" akan pergi?

Berkelanalah walau ke mana sekalipun dan sehebat mana pun ujian yang DIA datangkan akan kita temui "damai yang hilang" dek kerana terasa lelah diuji selama mengembara di bumi Tuhan ini.3 soalan ini dengan izin Allah akan menyedarkan kita akan hidup berTuhan.

Apabila bertanya "Dari mana aku datang?" - Jawapannya harus kita susuri sirah kejadian insan.Bermulanya penciptaan manusia dari tanah menerusi penciptaan Nabi Adam a.s.

"Dan sesungguhnya Kami menciptakan manusia itu daripada saripati yang berasal dari tanah" 
 (Al-Mukminun: 12)

seterusnya diberikan pasangan bagi kaum sejenis yakni penciptaan Hawa dari rusuk kiri Nabi Adam a.s.

"Kemudian Kami menjadikannya daripada nutfah(air mani) yang tersimpan di dalam tempat yang kukuh (rahim)." - (Al-Mukminun: 13)

"Kemudian air mani itu Kami jadikan sesuatu yang melekat,lalu sesuatu yang melekat itu Kami jadikannya segumpal daging,dan daripada segumpal daging itu Kami jadikan tulang-belulang,lalu tulang-belulang itu Kami bungkuskan dengan daging,kemudian Kami menjadikannya makhluk yang (berbentuk) lain,Maha Suci Allah sebaik-baik Pencipta" - (Al-Mukminun: 14)

Maka dari soalan itu akan kita ketahui dari mana sebenarnya kita datang dan tidak lain tidak bukan adalah dari Allah! 

Apabila bertanya "Kenapa aku didatangkan?" - Jawapannya harus kita susuri dengan bertanya kembali pada diri kenapa Allah menciptakan aku ke dunia ini? Kenapa? Kenapa? dan Kenapa? Harus kita tanya dan jawab dengan sejujur-jujurnya.

"Tidak Kami menciptakan jin dan manusia itu melainkan untuk beribadah kepada Kami"
(Az-Zariyat: 56)

Allah...pujuklah jiwa kita untuk sedar akan hakikat ini.Hakikat bahawa kita hanyalah seorang hamba yang harus tunduk bersujud patuh kepada setiap perintah jua laranganNYA.Akuilah wahai diri! Sedarlah diri kita hanya seorang hamba yang sangat hina tanpa belas ihsan kasih sayangNYA.Allahurabbi....ampunilah segala dosa kami yang terlalu banyak alpa pada segala perintahMu.

Harus kita sedar apabila dikatakan beribadah bukanlah hanya pada solat,puasa,tunai haji,zikir,ceramah dan sebagainya.Bahkan apa sahaja perlakuan yang kita laksanakan dalam kehidupan ini (kecuali perkara keburukan) niatnya kerana Allah walau sekecil-kecil perkara akan dikira sebagai ibadah di sisi Allah.Makan,minum,bekerja,belajar,tidur,berkebun,berjalan hatta memqada hajat sekalipun jika disertakan niat kerana Allah pasti akan menjadi ibadah dalam perhitunganNYA.

Apabila bertanya "ke mana aku akan pergi?" - Jawapannya harus kita soroti jejak terakhir sebuah pengembaraan di bumi Tuhan ini.Hidup lawannya Mati.Mati kita pelabuhannya bukan di alam kubur.Alam kubur itu hanya singgahsana sementara sebelum sekalian yang hidup ini akan dikumpulkan di padang Masyar kelak menanti dihisab amalnya satu per satu ketika hidup di dunia.Destinasi terakhir adalah antara syurga ataupun neraka.Ke mana mahu kita pergi antara keduanya kita sendiri yang memilihnya.Sesungguhnya syurga itu jualah dambaan setiap hamba yang beriman dengan sebenar-benar iman dan takwa kepada Allah.Walau bagaimanapun usahlah kita beramal beribadah kerana mahukan syurga takutkan neraka.

Sedikit kisah cinta Rabiatul Adawiyah ana kongsikan dalam kembara perhambaan ini sebagai renungan kita bersama...

~~XXXXXXXXXXXXXXXXX~~

Pernah suatu hari beberapa orang soleh datang berziarah ke rumah Rabiatul Adawiyah.Ketika itu terjadilah soal jawab antara Rabiatul Adawiyah dengan tetamu itu berkenaan dengan masalah menyembah Allah.Salah seorang mereka ditanya Rabiatul Adawiyah,

"Mengapa anda menyembah Allah?" tanya Rabiatul Adawiyah

"Kerana saya takut api neraka," jawab tetamu itu.

"Mengapa anda menyembah Allah?" Rabiatul Adawiyah bertanya pula kepada tetamu yang lain.

"Saya menyembah Allah kerana takut masuk api neraka dan ingin masuk ke dalam syurgaNYA," jawab tetamu itu.

Rabiatul Adawiyah menarik nafas panjang kemudian berkata:

"Alangkah buruknya seorang hamba yang menyembah Allah kerana mengharapkan syurga dan ingin menghindar dari api neraka!"

Sejurus Rabiatul Adawiyah terdiam seakan-akan kecewa mendengar jawapan mereka.Kemudian dari bibirnya keluar sebuah soalan,

"Sekiranya syurga dan neraka tidak ada,apakah kamu tidak menyembah Allah?"

~~XXXXXXXXXXXXXXXXX~~

Berusahalah untuk beramal ibadah semata-mata kerana Allah.tanamkan ke dalam jiwa kita apabila mati dan dihidupkan kembali kelak ingin bertemu dengan Pencipta yang Maha Agung serta kekasihNYA Rasulullah s.a.w. Cukuplah syurga itu sebagai rimbunan berteduh merehatkan usia yang kekal abadi.Barang siapa yang menjadikan Allah dan Rasulullah itu sebagai kekasihnya yang sejati bukankah kekal berdampingan dengan Sang Kekasih itu lebih kita dambakan dari segalanya? Tepuk dada tanyalah iman di hati...(。◕‿◕。)

Alhamdulillah...dengan izin Allah bicara ini akan tiba ke nokhtah terakhirnya.Segala puji bagiMu Ya Allah yang telah mengizinkan hambaMu ini menaip bicara mempersembahkan ilmuMu buat tatapan hamba-hamba pilihanMu jua.Terima kasih Ya Allah.Segala puji hanyalah untukMu Maha Besar Maha Berkuasa ke atas segalanya.

Ya Allah...bantulah hambaMu ini untuk menulis dengan hati yang ikhlas hanya keranaMu. Mudah-mudahan dari hati yang bersih itu akan mampu menyentuh hati yang berkeinginan pada sesuatu yang lebih bersih...insyaAllah....Amin Ya Rabb...

Wassalam buat para tetamu pilihan Allah....moga dengan rahmat Allah akan membuka hatimu dan hatiku untuk lebih mencintai ALLAH...
(。◕‿◕。)



2 comments:

norfaizah faizah said...

subhanaALLAH terpegung ana membaca semua ni...

Unknown said...

subhanaallah

Post a Comment

Template by:
Free Blog Templates